Friday, November 15, 2013

Kisah Adam dan Hawa

Setelah puas berjalan-jalan sambil menikmati buah-buahan dan semua makanan yang lazat-lazat,Nabi Adam a.s kemudiannya berbaring di bawah sepohon kayu  dengan mengiring di atas lambungnya yang sebelah kanan sperti cara tidur Baginda Rasulullah s.a.w.Ketika sedang asyik bermenung, tiba-tiba dia terlena.Setelah terjaga dari tidurnya, Nabi Adam mendapati seorang perempuan muda yang sangat jelita sedang duduk di sisinya.Dia terkejut, takjub serta sangat gembira melihat kehadiran seorang perempuan muda dan jelita yang belum pernah dilihatnya itu.Lalu dia bertanya kepada perempuan itu "kamu ini siapa?" Jawab perempuan itu , " saya adalah Hawa (ertinya yang dicipta daripada sesuatu yang hidup iaitu diri Nabi Adam a.s sendiri )".

Setelah itu Allah s.w.t menceritakan kepada Nabi Adam a.s bahawa perempuan itu adalah sebahagian daripada dirinya sendiri yang diciptanya ketika dia sedang tidur tadi.Tuhannya yang menciptakan perempuan itu untuk dijadikan pasangannya sebagai teman hidup dan dicipta daripada tulang rusuk kirinya yang paling bawah sekali.

Apabila Nabi Adam a.s merenung Siti Hawa, tiba-tiba bertunas di dalam hatinya perasaan cinta yang membara dan bergejolak.Begitu juga dengan perasaan Siti Hawa terhadap Nabi Adam a.s. Ini semua kerana Allah s.w.t mahu meperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya kepada kita sebagaimana firmanNya di dalam al-Quran surah arRum ayat 21 bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia (Allah s.w.t) mencipta untukmu isteri-isteri dari jenismu supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya.Dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang . Dan sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang suka berfikir".


Adam dan Hawa (gambar hiasan)

Maka, hidup bersenang-senanglah Nabi Adam a.s dan Siti Hawa di dalam syurga dan menikmati segala apa yang ada di dalam syurga.Tetapi Nabi Adam a.s perlu awas terhadap satu tegahan Allah, iaitu mereka berdua tidak dibenarkan sama sekali mendekati sejenis tumbuhan , apatah lagi untuk memakan buahnya.Hal ini diceritakan oleh Allahs.w.t melalui firmanNya di dalam Al-Quran dalam surah Al-A'raf  ayat 19 yang bermaksud:

"Wahai Adam! Tinggallah kamu di syurga ini bersama-sama isterimu dan makanlah kamu berdua buah-buahannya di mana sahaja kamu sukai.Tapi janganlah kamu berdua mendekati pokok ini , nanti kamu akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang zalim."

Itulah larangan pertama Allah s.w.t terhadap Nabi Adam dan Siti Hawa di syurga.Mereka perlu berhati-hati terhadap larangan Allah itu.Iblis laknatullah yang berada di bumi dapat mengetahui tentang pokok larangan itu dan berazam mahu memperdayakan kedua-dua insan musuhnya itu supaya mereka menderhakai Allah s.w.t  dengan cara memakan buah kayu itu.


-Dipetik dari buku Kisah-Kisah 25 Nabi-

No comments:

Post a Comment